Pada 06 Februari 2017, Majlis Pelancaran Program Jom Ke Sekolah peringkat sekolah telah diadakan. Program ini merupakan program kolaboratif antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menangani masalah disiplin dan salah laku murid. Penglibatan pihak polis melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di SK Trusan dalam program Jom Ke Sekolah pada awal Persekolahan Tahun 2017 ini diharap akan menjadi medan ke arah membentuk sahsiah murid yang lebih positif.
Objektif program ini adalah bagi mewujudkan hubungan mesra dan kolaborasi yang lebih mantap di antara pihak sekolah dan pihak PPS, membantu mencegah salah laku disiplin murid sekolah dan menggalakkan penggunaan Peti Aduan Murid.
Seawal pukul 7.30 pagi, murid-murid serta ibubapa mereka telah berkumpul Dewan Dato Pengiran Mohammad. Koperal Joseph Anak Bungan tiba di dewan pada pukul 7.40 pagi. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Kebangsaan, Negaraku, diikuti dengan Lagu Kebesaran Negeri, Ibu Pertiwiku dan Lagu Sekolah, For The Future.
Majlis diikuti bacaan doa oleh Ustaz Amirudin. Kemudian, Ikrar Jom Ke Sekolah dilafazkan oleh murid-murid SK Trusan, diketuai oleh wakil murid, Fara Nadia.
Seterusnya, guru besar memberikan ucapan alu-aluannya dan juga membacakan utusan KPM. Utusan KPS pula dibacakan oleh Koperal Joseph Anak Bungan. Peti Aduan Murid dirasmikan oleh En Suliman Bin Yahya, Guru Besar SK Trusan dan Koperal Joseph Anak Bungan.
Majlis diakhiri dengan pemberian cenderahati sebagai kenang-kenangan daripada pihak sekolah.
Dilaporkan Oleh: Tan Kan Tsai
Dilaporkan Oleh: Tan Kan Tsai
GAMBAR-GAMBAR LAIN