Perutusan AJK Tertinggi Laman Rasmi SK Trusan 2023
Penolong Kanan Pentadbiran (Memangku Tugas Guru Besar)
Salam sejahtera dan salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan juga Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Lawas yang memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul dan menjalankan tugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran (PKP) di SK Trusan.
Sebagai PKP SK Trusan, saya bertanggungjawab untuk merangka, merancang dan melaksanakan program-program yang menjurus kepada kemenjadian murid, selain memantau keberkesanan dan kejayaan program-program itu. Ini kerana kemenjadian murid merupakan sasaran utama barisan pentadbiran serta guru-guru SK Trusan. Kemenjadian murid bermaksud murid yang dididik secara holistik dalam pentadbiran sekolah yang cekap sehingga berupaya mencapai potensi diri yang sepenuhnya dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggunggjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri.
Laman Web Rasmi SK Trusan ini diharap dapat menjadi satu platform untuk menyokong pentadbiran dan pengurusan SK Trusan iaitu dalam melapor aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan serta mengiktiraf usaha dan kejayaan murid-murid SK Trusan dalam pelbagai aspek. Saya percaya murid-murid SK Trusan akan lebih aktif menonjolkan diri mereka serta mencapai potensi mereka apabila usaha an kegigihan mereka mendapat perhatian dan pengiktirafan yang sepatutnya. Di samping itu, segala laporan dan gambar yang tersimpan dalam Laman Web Rasmi ini juga dapat menjadi kenangan indah murid-murid sampai bila-bila.
Selain itu, pada hari ini Laman Web Rasmi ini juga telah dihubungkan kepada
e-library SK Trusan yang mana menyimpan dan memaparkan pelbagai karya dan penerbitan warga SK Trusan termasuklah Jurnal Kajian Tindakan dan Inovasi, buku fiksyen dan bukan fiksyen serta bahan-bahan multimedia. Ini memberi peluang serta pendedahan awal kepada murid-murid dengan bidang pengkaryaan dari akar umbi lagi. Dengan adanya e-library ini, murid-murid dapat berasa bangga dengan potensi dan bakat yang ada pada diri mereka selain sekolah mereka.
Dengan ini, saya ingin menyatakan harapan saya supaya Laman Web Rasmi SK Trusan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyokong pentadbiran dan pengurusan SK Trusan dan seterusnya menjurus kepada kemenjadian murid.
Sekian,
TAN KAN TSAI
Penolong Kanan Pentadbiran
SK Trusan, Lawas
Tarikh: 22 Oktober 2024
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W dan kaum keluarga serta para sahabat baginda.
Syukur alhamdulillah, dengan keizinan serta kudrat iradatNya jua dapat saya lakarkan sepatah dua kata dalam ruangan ini. Sesungguhnya dunia telah mengiktiraf institusi pendidikan adalah platfom yang amat besar pengaruhnya dalam membina Negara bangsa yang dinamik dan kompeten bagi membentuk pelapis generasi akan datang.
Pengurusan HEM pula seolah diakui menjadi elemen yang sangat penting kerana di dalamnya terdapat aset Negara yang merupakan nilai modal insan yang paling berharga untuk mencorakkan lanskap pentadbiran Negara pada hari muka.
Dengan kapasiti yang ada di bawah kepimpinan Tuan Guru Besar dan dibantu oleh rakan-rakan penolong kanan dan guru-guru serta sokongan PIBG diharapkan pengurusan HEM dapat dilaksanakan sebaik mungkin bagi memenuhi aspirasi Negara selaras dengan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Semoga segala usah kita mendapat keberkatan dan dihitung sebagai satu ibadah di sisi
Allah S.W.T.
Sekian, wassalam.
Zakhirudin Bin Zainol
Penolong Kanan HEM
SK Trusan
Tarikh: 22 Oktober 2024
Penolong Kanan Kokurikulum
Assalamualaikum dan salam sejahtera
Sistem pendidikan kita merupakan tunjang pembangunan negara
dengan menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada setiap generasi bagi
memancu pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan negara. Selain memberikan keutamaan
kepada aktiviti kurikulum di sekolah, transformasi aktiviti kokurikulum juga
perlu dilakukan sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam
membangunkan potensi murid yang seimbang dan kemenjadian murid. Di sini kami
bertekad untuk memastikan murid di sekolah ini mempunyai peluang yang sama
untuk mengetengahkan bakat dan potensi mereka dalam semua bidang. Semoga hasrat
ini akan dapat direalisasikan dengan sokongan padu semua warga guru, AKP termasuk
ibu bapa dan mesyarakat setempat.
Sekian, Wassalam.
Asal Bakarih, Balurih…
ARIKA WIRA BIN KARIM
PK Kokurikulum
SK Trusan
22 Oktober 2024
Penyelaras Laman Web Rasmi SK Trusan
Salam Sejahtera, kepada netizen semua. Laman Web Rasmi SK Trusan ini telah dibangunkan sejak Tahun 2013. Ini menunjukkan bahawa Sekolah Kebangsaan Trusan tidak ketinggalan dalam mengikuti jejak kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) yang kian pesat membangun dengan kadar yang amat cepat.
Melalui laman web ini, pelbagai maklumat rasmi berkaitan dengan pelbagai aktiviti, program dan maklumat terkini boleh dikongsikan kepada warga SK Trusan, masyarakat dan juga netizen semua. Sudah tentu pada hari ini, terdapat pelbagai saluran-saluran penyebaran maklumat yang lain seperti Whatapps, Facebook dan sebagainya. Namun, laman web ini tetap lebih sesuai digunakan sebagai saluran utama untuk melaporkan aktiviti-aktiviti serta maklumat sekolah dari masa ke masa. Ini kerana laman web ini berfungsi sebagai satu medium penyimpanan maklumat yang baik di mana setiap maklumat yang dimuatkan ke dalam laman ini memudahkan warga sekolah serta netizen semua untuk "keep track" aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan pada masa-masa yang lepas.
Selain itu, berinspirasikan tema...
"Reduce Paper Waste for Greener Earth"
Sekolah Kebangsaan sebagai sekolah yang mempunyai Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) menyokong sepenuhnya "paperless reporting", iaitu laporan tanpa kertas. Diharap Laman Web Rasmi SK Trusan ini dapat terus berkhidmat menyampaikan maklumat-maklumat terkini berkaitan aktiviti-aktiviti sekolah kepada netizen semua serta menyumbang kepada kemampanan alam sekitar.
Sekian,
Tan Kan Tsai
Penyelaras Laman Web Rasmi SK Trusan
Tarikh: 22 Oktober 2024
Perutusan Terdahulu: