Sambutan Hari Guru 2015 anjuran Pemimpin Muda TKRS

Backdrop Sambutan Hari Guru 2015- rekaan Alifarizal

Pada tahun ini, guru-guru telah menerima hadiah yang cukup besar dan bermakna daripada murid-murid SK Trusan apabila mereka berjaya menganjurkan Sambutan Hari Guru ini untuk guru-guru yang  mereka sayangi.

Saban tahun, Sambutan Hari Guru dianjurkan oleh guru-guru untuk guru-guru sendiri. Tetapi tahun ini mereka hanya perlu duduk dan menikmati sambutan yang dirancang, dilatih dan dilaksanakan oleh murid-murid sendiri.

Guru-guru berasa cukup gembira dan bangga terhadap murid-murid SK Trusan kerana kejayaan perlaksanaan Sambutan Hari Guru ini menunjukkan bahawa mereka telah matang dan mempunyai kemahiran kepimpinan, pengurusan dan kerjasama yang tinggi.

Pada jam 0700,  suasana di sekolah cukup lain daripada biasa kerana kebiasaannya, guru-guru yang kelihatan bertungkus-lumus membuat persiapan untuk menyambut Hari Guru (yang kadang-kadang dikatakan "syok" sendiri di mana sendiri mengadakan sambutan, untuk diri sendiri). Namun pada hari ini, yang kelihatan sibuk dengan kerja-kerja persiapan dan sebagainya ialah murid-murid SK Trusan. Ada yang sedang bersiap dengan kostum yang telah dirancang, ada yang sibuk bersiap dengan latihan persembahan mereka dan ada yang sedang sibuk menyusun kerusi.

Jam 0720, cuaca masih hujan. Padang SK Trusan juga basah. Ini menyebabkan perancangan murid-murid untuk mengadakan acara sukaneka dan persembahan gimnastik yang mana asalnya bertempat di padang, terpaksa dibatalkan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, itulah peribahasa yang dapat menggambarkan semangat mereka untuk menjayakan sambutan ini. Pelan B terus dijalankan, peserta-peserta persembahan gimnastik terpaksa menukar beberapa pergerakan mereka untuk menyesuaikan pentas persembahan yang mana jauh lebih kecil berbanding dengan pada yang begitu luas. Konduktor sukaneka, Mohamad Syukri Bin Samari dan Nurdini Bin Madini terpaksa memikirkan permainan yang sesuai dilaksanakan di dalam Dewan Dato Pengiran Mohammad. Maka, Bola Beracun telah digantikan dengan Muzikal Chair manakala Bola Menyalak telah digantikan dengan Bom, Bom Sayang.

Jam 0730, pengawas mula mengumpulkan murid-murid di dalam dewan dan sudahpun bersedia untuk memulakan acara Sambutan Hari Guru 2015. Pada jam 0800, acara Sambutan Hari Guru telah dimulakan dengan persembahan gimnastik daripada murid-murid Tahun 5. Persembahan yang hebat ini, telah menggemparkan dewan apabila mereka melakukan pergerakan-pergerakan seperti guling depan, roda kereta, formasi V, piramid dan sebagainya. Walaupun hanya berlatih sekali sahaja di dalam dewan ini, mereka telah memaparkan satu persembahan yang cukup mantap.



Kemudian, sambutan Hari guru dimeriahkan lagi dengan gelagat guru-guru yang lucu, pelik dan menghiburkan dalam permainan Muzikal Chair yang dibawakan oleh Mohamad Syukri Bin Samari. Permainan ini dimainkan oleh 8 orang peserta yang tidak kurang hebatnya iaitu Cikgu Yusop, Cikgu Awang Amir, Cikgu Siti Jaliha, Cikgu Moktar, Cikgu Tan Kan Tsai, Ustaz Hafizuddin, Cik Rozeana dan Filzah Nur. Pertarungan sengit telah berlaku antara tujuh peserta ini. Akhirnya keputusannya seri antara Cikgu Awang Amir dan Cik Rozeana.

Muzikal Chair baru mula

5 orang peserta yang tinggal
2 peserta terakhir. Sempat menari lagi!

Untuk menyejukkan sedikit semangat guru-guru yang masih berapi selepas permainan Muzikal Chair, persembahan gimnastik daripada murid-murid Tahun 4 dihidangkan. Dengan pergerakan yang difikirkan oleh mereka sendiri, tanpa tunjuk ajar atau nasihat daripada mana-mana guru. Mereka memaparkan persembahan yang begitu unik dan kreatif. namun, ruang penambahbaikan kelihatan luas lagi untuk kumpulan ini.


Acara seterusnya ialah permainan Bom, Bom Sayang yang dimainkan oleh 6 orang peserta iaitu Cikgu Madini Bin Masri (kuning), Cikgu Drahman (hitam), Rizal (Biru), Cikgu Lolitha (Pink), Cikgu Emmly (Ungu) dan Noriah (Merah). Permainan ini kelihatan dimonopoli oleh seorang pemain yang cukup hebat psikologinya, Cikgu Madini. Peserta pertama tumpas apabila tergelak tidak henti-henti dan gagal menyahut bom tersebut. Begitu juga dengan peserta-peserta lain. Di kemuncak permainan ini, Cikgu Madini bertemu dengan Cikgu Drahman. Pertarungan sengit telah berlaku di antara mereka dan akhirnya Cikgu Drahman juga tidak tahan dengan serangan psikologi daripada lawannya. Tergelak dan terkeluar daripada permainan.
Cikgu Drahman ditumpaskan Cikgu Madini yang begitu kuat psikonya

Selepas permainan ini, maka tamatkan acara sukaneka pada hari ini. Bagi lebih memeriahkan hari yang cukup meriah ini. Satu acara senamrobik telah diadakan "on-the-spot" oleh guru-guru SK Trusan iaitu Cikgu Tan Kan Tsai, Cikgu Madini Bin Masri, Cikgu Awang Amir dan Cikgu Drahman. Ingatkan betul-betul hendak membawa senamrobik tetapi akhirnya menjadi acara tarian kerana tiadanya lagu yang sesuai untuk senamrobik, cuma ada lagu tarian seperti Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu. Murid-murid cukup terhibur melihat gelagat guru-gurunya yang bersungguh-sungguh menari tetapi badan keras macam kayu balak.

Pada jam 0900, Majlis Sambutan Hari Guru 2015 telah bermula dengan rasminya dengan bacaan doa oleh Awg. Hishamuddin.

Bacaan doa oleh Awg Hishamuddin

Ucapan alu-aluan pula diberikan oleh Yusop Bin Sitam, Guru Besar SK Trusan. Dalam ucapan beliau, beliau meluahkan rasa berterima kasih beliau kepada guru-guru serta staf SK Trusan yang sentiasa berusaha mengajar dan mendidikan murid-murid SK Trusan di samping sentiasa berganding bahu menjayakan aktiviti-aktiviti yang telah diadakan.

Ucapan alu-aluan GB

Ucapan perasmian pula diberikan oleh Pangiran Abdoll Kadir, Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Trusan. Beliau seterusnya merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru 2015 dengan mengaktifkan Video Perasmian Sambutan Hari Guru 2015 dengan menggunakan cap tangannya. Video perasmian yang panjangnya kira-kira 25 minit itu cukup mengasyikan dengan video effectnya, muziknya dan juga gambar-gambar aktiviti sekolah sebelum ini. Video ini telah dihasilkan oleh Cikgu Alifarizal yang begitu mahir dengan rekaan grafik dan multimedianya.

Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan Tarian Ngajat yang diketuai oleh Dayangku Ayusapura, Ketua Pengawas SK Trusan. Tarian ini telah mendapat bimbingan daripada Cik Azrani. Hayatilah tarian tradisional Kaum Iban ini.


Tidak kalah juga murid-murid Tahun 3 apabila mereka juga telah mempersembahkan satu persembahan iaitu Five Little Ducks. Persembahan ini telah dilatih oleh murid-murid itu sendiri setelah mempelajari lagu ini di dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Bahasa Inggeris. Walaupun persembahan ini banyak kekurangannya tetapi persembahan ini telah memaparkan keikhlasan dan kesungguhan mereka.


Murid-murid Tahun 5 pula membawa Tarian Sumazau sebagai persembahan mereka. Tarian ini merupakan salah satu tarian tradisional Negeri Sabah. Tarian ini diketuai oleh Syaifa Misyafiqa, murid Tahun 5. Mereka juga telah melatih tarian ini sendiri selama kira-kira dua minggu sebagai satu hadiah kepada guru-guru yang mereka sayangi.


Murid-murid asrama juga tidak ketinggalan dalam menyumbangkan persembahan sempena Hari Guru 2015 ini. Persembahan yang dibawakan oleh mereka ialah nyanyian Guruku Tersayang yang juga diketuai oleh Dayangku Ayusapura.



Selepas persembahan ini tibalah masanya untuk penyampaian hadiah kepada guru-guru dan staf SK Trusan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai tanda terima kasih dan penghargaan mereka kepada jasa dan pengorbanan guru-guru dan staf SK Trusan dalam usaha mendidik dan mengajar murid-murid.

Hadiah kepada GB
Hadiah kepada Cikgu Awang Amir

Hadiah kepada cikgu Tan Kan Tsai

Majlis diteruskan lagi dengan satu persembahan yang mengejutkan guru-guru serta staf SK Trusan. Tarian Popyeye, langsung tidak disangka dan difikirkan bahawa ketika persembahan tarian ini, tiba-tiba murid-murid ini turun dari pentas dan menjemput guru-guru serta staf untuk menari bersama-sama dengan mereka. Walau bagaimanapun, guru-guru dan staf cukup menikmati tarian ini kerana bukan selalu, mereka boleh menari dengan murid-murid yang ibarat anak-anak mereka. Tarian ini diketuai oleh Emilyn, murid Tahun 6.


Kemudian, Nurul Syamimimalina juga tidak ketinggalan untuk mengambil peluang Hari Guru ini untuk menyampaikan sebuah Sajak hari Guru. Walaupun sajak ini agak ringkas dan pendek tetapi telah meluahkan rasa terima kasihnya kepada guru-gurunya.

Setelah begitu lama duduk, dewan SK Trusan sekali lagi dipanaskan dengan satu persembahan yang begitu rancak dan moden iaitu Tarian Shuffle yang pada mulanya hendak dipersembahkan oleh murid-murid Tahun 5, tetapi atas sebab tiadanya ilham, maka mereka telah mendapatkan bantuan daripada hafiz Irfan, murid Tahun 6 untuk mengetuai persembahan mereka. Hayatilah persembahan yang tidak seberapa tetapi penuh keikhlasan ini.



Sekarang tibalah kemuncak Majlis Sambutan Hari Guru dengan persembahan yang terakhir daripada murid-murid Tahun 5 yang merupakan mastermind kepada Sambutan hari Guru 2015. Merekalah murid-murid yang telah mengilhamkan supaya Sambutan hari Guru pada tahun ini dianjurkan oleh murid-murid kepada guru-guru SK Trusan. Persembahan Koir mereka yang begitu mantap itu telah dilatih sejak 11hb Mei 2015. Persembahan ini telah diketuai oleh Aizayatul Amira, murid Tahun 5. Pelbagai halangan telah diharunginya dalam menjayakan persembahan ini. Pada awal latihan, murid-murid yang lain enggan memberikan kerjasama, namun beliau tetap bersabar dan memimpin rakan-rakannya dalam menjayakan Sambutan Hari Guru 2015.




Sambutan Hari Guru ini diakhiri dengan nyanyian Lagu Terima Kasih Cikgu oleh semua murid SK Trusan. Suasana meriah ini cukup mengharukan dan menggemparkan.


Dengan berakhirnya persembahan ini, maka berakhirlah Sambutan Hari Guru 2015. Tibalah masanya untuk guru-guru menikmati juadah Hari Guru.

Sedapnya... apabila makan bersama-sama


SELAMAT HARI GURU

Terima kasih diucapkan kepada murid-murid SK Trusan yang menjayakan Sambutan Hari Guru Tahun 2015. Inilah hadiah yang terbaik buat guru-guru semua.

TERIMA KASIH

- dilaporkan oleh: Cikgu Tan Kan Tsai-