SEJARAH TRUSAN, LAWAS
SEJARAH AWAL TRUSAN
Menurut cerita orang tua-tua, Trusan telah wujud seawal tahun 1900an lagi. Dulunya Trusan adalah merupakan penempatan orang Lun Bawang yang tinggal berselerak di persekitaran pesisiran sungai Trusan. Suku kaum ini tinggal berselerak mengikut kumpulan masing-masing dengan diketuai oleh seorang ketua.
Pada ketika itu kumpulan ini tidak tinggal menetap di satu tempat. Mereka sentiasa berpindah randah mengikut kesesuaian tanah dimana membolehkan mereka bercucuk tanam dan sumber rezeki dari hutan dan binatang. Ini juga adalah demi keselamatan kumpulan masing-masing.
Pada masa itu menurut cerita yang didengar, kumpulan-kumpulan mereka ini sentiasa bersaing dan saling cuba mengatasi antara satu sama lain. Inilah yang biasa disebut pada masa itu sebagai peristiwa 'Ngayau' atau 'Potong Kepala'. Bagi mereka adalah setu kemegahan dan tanda kepahlawanan jika dapat memotong kepala musuh dan sebagai bukti kekuatan puak masing-masing.
Head Hunter |
Biasanya untuk membuktikan mereka telah memotong kepala pihak lawan, kepala yang dipotong akan dibawa pulang dan disimpan sebagai koleksi sementara rambutnya akan dipotong serta diikat pada hulu parang yang diggunakan untuk memotong kepala tersebut. Peristiwa ini juga turut dikenali sebagai 'Pengait' semasa kami masih kecil dahulu.
KUBU: NAMA ASAL TRUSAN
Sebelum ini Trusan hanya dikenali sebagai ‘Kubu’ oleh orang yang pernah melawat kawasan ini pada sekitar 1920an dan sebelumnya. Ini kerana di sini terdapat sebuah kubu yang digunakan oleh pihak Inggeris (pemerintahan Keluarga Raja Brook) untuk mengawal kawasan ini dari serangan musuh.
Dipercayai ketika itu Trusan adalah kawasan terawal dibina penempatan sebelum Lawas. Kubu ini terletak di bukit Banganga yang juga menghadap ke sungai Trusan. Di sini ditempatkan dua buah meriam untuk tujuan pertahanan. Menurut cerita, di Kubu inilah pegawai Inggeris membuat pejabat pentadbiran sehingga pada akhir tahun-tahun 1930an, sebelum berpindah ke Lawas kerana kesukaran untuk bertahan selepas diserang oleh penuduk tempatan bertubi-tubi. Bangunan ini masih kekal hingga ke hari ini dan dijadikan pusat pentadbiran kerajaan yang juga dikenali sebagai Pejabat daerah kecil Trusan.
TRUSAN MENDAPAT NAMA: “TARUSKAN SAJA” Cerita Dongangan...
Antara peristiwa penting dalam sejarah Trusan menurut cerita lisan (sekadar cerita dongengan orang tua-tua di Trusan satu ketika dulu) yang telah disampaikan oleh orang tua-tua di kampung ini seperti Nenek Kudus, Nenek Ibrahim dan Tuan Imam Pg. Hj. Harun bin Pg. Hj Gani ( Kesemuanya telah meninggal dunia ) kepada penulis semasa kecil dahulu ialah peristiwa pelayaran Baginda Sultan Brunei Almahrum Begawan Sultan Sir Omar Ali Saifuddin yang ketika itu memerintah Negara Brunei Darussalam sekitar 1920an. Baginda diceritakan telah belayar memasuki Kuala Trusan hingga ke Long Tengoa. Pada ketika itu Trusan, Lawas dan juga Limbang masih lagi dianggap sebagai sebahagian wilayah Negara Brunei. Di situlah menurut cerita Trusan mendapat nama.
Baginda dan rombongan diraja telah menyusuri jauh melalui sungai Trusan hinggalah sampai ke sebuah tempat. Di situ, Baginda menitahkan rombongan tersebut berehat sebentar dan mendarat untuk mendapatkan bekalan makanan sambil meninjau suasana perkampungan yang sudah wujud ketika itu. Setelah mendapatkan bekalan hasil persembahan daripada penduduk tempatan pada ketika itu, baginda meminta pendapat para pegawai yang mengiringi baginda sama ada perjalanan ini diteruskan ataupun tidak. Namun para pegawai tidak berani untuk membuat keputusan dan akhirnya baginda sendiri bertitah untuk meneruskan perjalanan hingga ke hulu dan dipercayai baginda dan rombongan telah sampai hingga ke Long Tengoa sebuah penempatan yang didiami oleh suku kaum Tagel.
Di situlah baginda menamakan tempat ini sebagai Trusan iaitu berasal dari titah baginda ”taruskan saja”. Menurut cerita, perjalanan baginda ini memakan masa lebih enam bulan dan ketika berangkat balik ke Brunei baginda menitahkan Pengiran Dato Mohamad iaitu salah seorang rombongan baginda tinggal di sini dan membuka penempatan. Sehingga kini sebagai mengenang jasa beliau sebuah kampung telah dinamakan sebagai Kampung Dato Pengiran Mohamad iaitu kampung asal di mana beliau memulakan penempatan.
ZAMAN JEPUN
Trusan di zaman Jepun tidak kurang sengsaranya. Dikatakan ramai penduduk kampung lari ke dalam hutan. Dimana ketika itu ramai pemuda telah dikerah untuk menjadi buruh paksa dan dihantar ke Labuan. Sebahagian remaja pula ada yang sempat bersekolah Jepun. SK Trusan merupakan salah sebuah sekolah yang dibina (di kawasan kedai Trusan) bertujuan untuk “menjepunkan” kepada penduduk tempatan. Walaupun tempoh pemerintahan Jepun hanya lebih kurang dua setengah tahun namun ianya dirasakan amat sengsara. Anak gadis seawal 9 hingga 13 tahun terpaksa dinikahkan kerana takut diambil oleh tentera Jepun. Dipercayai kalau anak gadis yang sudah berkahwin tentera Jepun tidak akan mengambil dan mengganggunya.
TRUSAN MENJADI TUMPUAN
Sekitar tahun-tahun 1970an dan 1980an Pekan Trusan merupakan pekan yang agak penting dimana ianya merupakan pusat pertemuan pedagang-pedagang di daerah sini. Pedagang dari Kuala Lawas, Punang, Sundar dan Merapok berkumpul di sini untuk memasarkan hasil pertanian dan tangkapan mereka. Mereka yang hendak ke Brunei terpaksa ke Trusan terlebih dahulu kerana di sini saja ada terdapat pengangkutan untuk ke sana.
Pangkalan Trusan Sekitar 1970-an |
Bot laju atau ’speed boat’ kata orang tempatan ada menyediakan perkhidmatan dengan kekerapan perjalanan sekali sehari. Perkhidmatan ini dapat mengangkut 18 hingga 20 orang penumpang sekali perjalanan disediakan oleh Tauke Beng Sing atau dikenali sebagai ’Sising’ oleh orang sini. Setiap penumpang dikenakan bayaran RM10 hingga RM15 seorang.
Tamu mingguan di Trusan pada ketika itu adalah merupakan tamu yang paling besar di Daerah Lawas ini. Ianya menerima kunjungan para peniaga hingga dari Sabah. Tamu diadakan dua kali seminggu iaitu pada hari Isnin dikenali sebagai ’Tamu Damit’ dan Khamis pula ’Tamu Basar’.
Pekan Trusan 1963: Kemerdekaan |
Sebelum adanya jalan raya ke Pekan Sundar penduduk dari sana terpaksa menggunakan sampan untuk mudik ke pekan Trusan bagi menjalankan aktiviti perniagaan, membeli belah atau menghantar anak bersekolah di Hight School yang merupakan satu-satunya sekolah peringkat tinggi di Lawas. Ini kerana hanya ada satu saja jalan (berbatu) dari Trusan yang boleh sampai ke Lawas pada ketika itu. Pada masa itu hanya ada sebuah teksi kepunyaan Lau Che Hang dan sebuah bas Tauke Ayau (Siayau) sahaja yang memberi perkhidmatan membawa penumpang ke Lawas. SMK Trusan hanya dibina dan digunakan pada sekitar pertengahan tahun 1970an.
KEJATUHAN TRUSAN
Sekitar akhir tahun 1980an, suasana sudah mula berubah. Jalan Sundar sudah siap dibina, menyebabkan orang Sundar tidak lagi singgah di Trusan tetapi terus ke Lawas. Perkhidmatan speed boat tidak lagi mendapat sambutan. Trusan mula sunyi dan tamu sudah jarang diadakan. Walaupun ada diadakan tetapi tidak ramai yeng mengunjunginya.
Tamu di Pekan Sundar pula diadakan pada setiap hari Jumaat dan tamu di Lawas pada hari Sabtu mengambil peranan tamu Trusan yang telah lumpuh. Akhirnya pekan Trusan terus longlai seperti sebuah pekan koboi selepas perang, sunyi dan tidak bermaya. Kini ianya tinggal satu kenangan untuk diceritakan kepada genarasi akan datang dan Pekan Trusan kini hanyalah sebuah tempat lintasan untuk mereka yang datang dari Brunei ke Sabah atau sebaliknya.
HARAPAN BARU
Pun begitu Pekan Trusan seperti pekan-pekan lain, tidak kurangnya telah mula berubah dan menerima arus pembanggunanya tersendiri. Kini sudah ada bangunan baru, Dewan Masayarakat, Perpustakaan, Klinik Desa dan akan datang ialah sebuah Jambatan merentangi sungai Trusan bernilai jutaan ringgit. Diharap dengan adanya projek pembangunan ini akan menjana semula kemeriahan pekan ini saperti yang pernah dilaluinya di masa-masa lalu.
Ditulis semula Oleh: Tan Kan Tsai (17 April 2014)
Sumber: Moktar Bin Jaman, Sejarah Trusan diperoleh pada April 17, 2014 dari http://trusankitani7.blogspot.com/