Penyerahan Jurnal Penyelidikan Tindakan dan Inovasi Jilid 4/ 2026

 

Penyerahan Jurnal kepada PPD Lawas (Kiri) oleh GB SK Trusan (Kanan)

Tahniah diucapkan kepada barisan editor yang diketuai oleh Cg. Tan Kan Tsai (Guru Cemerlang DG12), dan Cg. Natasha Lee Phay Wern (Penyelaras Kajian Tindakan, SK Trusan) di atas kejayaan penerbitan Jurnal Penyelidikan Tindakan dan Inovasi Jilid 4/2026. Tahniah kepada Alifarizal bin Sahak, Guru Besar SK Trusan serta semua guru yang terlibat atas segala sokongan dalam menjayakan penyelidikan tindakan sepanjang Tahun 2025. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan budaya penyelidikan yang subur dan konsisten diamalkan di SK Trusan, malah membuktikan komitmen warga pendidik dalam memperkasa amalan profesionalisme keguruan. Lebih membanggakan, usaha murni ini turut menyumbang kepada penyebaran budaya penyelidikan yang positif dan progresif ke sekolah-sekolah lain di Zon Trusan.

Jurnal yang mengandungi 16 kajian tindakan ini memperlihatkan kesungguhan, kreativiti dan inovasi guru-guru dalam mengenal pasti serta menyelesaikan isu-isu PdPc di dalam kelas masing-masing secara sistematik dan berfokus. Setiap kajian yang diketengahkan bukan sahaja berasaskan refleksi amalan sebenar, malah disokong oleh data dan dapatan yang relevan, sekali gus memberi impak langsung terhadap peningkatan kualiti pembelajaran murid.

Penerbitan jurnal ini juga menjadi platform perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam kalangan guru, di samping menggalakkan budaya kolaboratif serta pemikiran kritis dalam komuniti pendidikan. Usaha ini wajar dijadikan contoh dan inspirasi kepada warga sekolah lain untuk terus menjalankan kajian tindakan sebagai medium penambahbaikan berterusan dalam sistem pendidikan.

Semoga kejayaan penerbitan Jilid 4 ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan dan inovasi pada masa hadapan, seterusnya memperkukuh kecemerlangan SK Trusan sebagai institusi pendidikan yang progresif, berdaya saing dan sentiasa komited terhadap kemenjadian murid.


Dilaporkan oleh:

Tan Kan Tsai
Guru Cemerlang DG12
SK Trusan

PERTANDINGAN BOLA TAMPAR MSSD LAWAS

TRUSAN, 10 Februari 2026 – Pasukan bola tampar sekolah telah menyertai Kejohanan Bola Tampar Peringkat Daerah yang berlangsung di Gelanggang Dewan Masyarakat Trusan.

Pasukan ini berjaya mempamerkan semangat juang yang tinggi serta komitmen yang membanggakan sepanjang kejohanan berlangsung. Lebih membanggakan, terdapat beberapa orang pemain yang pertama kali menyertai pertandingan bola tampar namun tetap mampu memberikan saingan sengit kepada pihak lawan.

Senarai Atlet Bola Tampar SK Trusan. 1. Shahrizwan Bin Maslan (Tahun 6) 2. Azmil Ilhami Bin Awangku Mohd.Munir (Tahun 6) 3. Mohammad Zafriel Irham Bin Mazlan (Tahun 6) 4. Awangku Mohammad Haikal Bin Awgku Mohammad Nazri (Tahun 6) 5. Mohammad Fahmie Bin Herman (Tahun 6) 6. Mohamad Afif Zafuan Bin Aini @ Suhaimi  (Tahun 6) 7. Mohamad Fadzilah Bin Shahlan (Tahun 5) 8. Norhazarudin Bin Nordin (Tahun 5) 9. Muhammad Ziyad Zafran Bin Nortahir (Tahun 5) 10. Clement Baru Hendrick (Tahun 4)


Dalam kejohanan tersebut, pasukan sekolah mencatat keputusan berikut:
25–30 menentang SK Merapok
25–30 menentang SK Pusat
16–30 menentang SK Ulu Merapok

Walaupun tidak berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir, para pemain menunjukkan peningkatan ketara dari segi kemahiran asas, kerjasama berpasukan dan disiplin permainan. Beberapa kesilapan kecil yang berlaku semasa perlawanan menjadi faktor perbezaan mata dengan pasukan lawan.

Namun begitu, usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pemain wajar dipuji. Penyertaan ini juga memberi pengalaman berharga serta pendedahan awal kepada pemain, khususnya mereka yang pertama kali menyertai pertandingan.

Pasukan ini dibawah bimbingan jurulatih, Cik Siti Zahidah Binti Ahmad Sabri, yang bertanggungjawab merancang sesi latihan, strategi permainan dan memberikan sokongan moral kepada pemain. Manakala Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Marlvin Anak Nonging, sebagai Pengurus Pasukan sepanjang kejohanan berlangsung. Pasukan ini diiringi oleh Puan Kartini binti Gaip.

Kejohanan ini turut mendapat sokongan dan kehadiran Guru Besar SK Trusan, Encik Alifarizal bin Sahak serta Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Syarkinah binti Wahap yang hadir memberikan sokongan moral kepada pasukan bola tampar sekolah.

Diharapkan pasukan bola tampar sekolah akan terus berusaha memperbaiki prestasi dan mencipta kejayaan pada masa akan datang.


Dilaporkan oleh:

Amanina Aqilah Binti Matzalis
SK Trusan


 KEJOHANAN MERENTAS DESA MSSB LIMBANG 2026

 







LIMBANG, 5 Februari 2026 – Dua atlet Sekolah Kebangsaan (SK) Trusan telah menyertai Kejohanan Merentas Desa MSSB Limbang yang berlangsung di SMK Agama Limbang hari ini. Penyertaan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak sekolah dalam memperkasa pembangunan sukan serta memberi pendedahan kepada murid untuk bersaing di peringkat bahagian.

Dua orang atlet SK Trusan yang terlibat dalam kejohanan ini ialah Hazir Izzan bin Saidin dan Affan Azzhar bin Afzainizam. Sepanjang kejohanan, kedua-dua atlet telah menunjukkan komitmen, disiplin dan semangat juang yang tinggi walaupun berdepan saingan sengit daripada sekolah-sekolah lain di Bahagian Limbang.

Kontinjen SK Trusan telah diiringi oleh Encik Joshua Lucas selaku guru pengiring, manakala Encik Alifarizal bin Sahak, Guru Besar SK Trusan, bertindak sebagai Ketua Pasukan. Kehadiran pihak pengurusan sekolah jelas menunjukkan sokongan padu terhadap pembangunan bakat dan kecemerlangan murid dalam bidang sukan.

Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua atlet yang terlibat dan bapa atlet yang telah membantu melatih dan memberi sokongan berterusan kepada anak-anak mereka. Menang atau kalah bukan ukuran utama, sebaliknya keberanian mencuba, kesungguhan berlatih dan pengalaman yang diperoleh merupakan kejayaan sebenar. Semoga penyertaan ini menjadi pembakar semangat kepada murid-murid SK Trusan untuk terus aktif, berdisiplin dan berani mencabar diri ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Terus berlari mengejar impian, kerana setiap langkah kecil hari ini adalah kejayaan besar esok nanti.


DILAPROKAN OLEH:

Joshua Lucas
Setiausaha Sukan dan Kokurikulum,
SK Trusan