Tahniah diucapkan kepada barisan editor yang diketuai oleh Cg. Tan Kan Tsai (Guru Cemerlang DG12), dan Cg. Natasha Lee Phay Wern (Penyelaras Kajian Tindakan, SK Trusan) di atas kejayaan penerbitan Jurnal Penyelidikan Tindakan dan Inovasi Jilid 4/2026. Tahniah kepada Alifarizal bin Sahak, Guru Besar SK Trusan serta semua guru yang terlibat atas segala sokongan dalam menjayakan penyelidikan tindakan sepanjang Tahun 2025. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan budaya penyelidikan yang subur dan konsisten diamalkan di SK Trusan, malah membuktikan komitmen warga pendidik dalam memperkasa amalan profesionalisme keguruan. Lebih membanggakan, usaha murni ini turut menyumbang kepada penyebaran budaya penyelidikan yang positif dan progresif ke sekolah-sekolah lain di Zon Trusan.
Jurnal yang mengandungi 16 kajian tindakan ini memperlihatkan kesungguhan, kreativiti dan inovasi guru-guru dalam mengenal pasti serta menyelesaikan isu-isu PdPc di dalam kelas masing-masing secara sistematik dan berfokus. Setiap kajian yang diketengahkan bukan sahaja berasaskan refleksi amalan sebenar, malah disokong oleh data dan dapatan yang relevan, sekali gus memberi impak langsung terhadap peningkatan kualiti pembelajaran murid.
Penerbitan jurnal ini juga menjadi platform perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam kalangan guru, di samping menggalakkan budaya kolaboratif serta pemikiran kritis dalam komuniti pendidikan. Usaha ini wajar dijadikan contoh dan inspirasi kepada warga sekolah lain untuk terus menjalankan kajian tindakan sebagai medium penambahbaikan berterusan dalam sistem pendidikan.
Semoga kejayaan penerbitan Jilid 4 ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan dan inovasi pada masa hadapan, seterusnya memperkukuh kecemerlangan SK Trusan sebagai institusi pendidikan yang progresif, berdaya saing dan sentiasa komited terhadap kemenjadian murid.
Dilaporkan oleh:
Tan Kan Tsai
Guru Cemerlang DG12
SK Trusan
