Laporan & Gambar Terkini Kejohanan Olahraga 2022

Pingat dan Piala Kejohanan Olahraga Gabungan

Pelbagai hadiah seperti pingat dan piala telah disediakan untuk dituntut pemenang-pemenang setiap acara yang dipertandingkan.

Pertandingan yang menggabungkan rumah sukan SK Trusan dan SJKC Chung Hua Trusan ini adalah bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan perpaduan murid2 dan staf kedua-dua buah sekolah.


Hari Pertama (14 November 2022)

Seawal pukul 7.30 pagi, kejohanan olahraga 2022 dimulakan dengan acara Lompat Jauh Perempuan A dan Acara Sukaneka Prasekolah. Walaupun keadaan padang pada hari ini becak dan berlompang air, tetapi para atlet tetap bersemangat.


Perbarisan Lintas Hormat


Pada pukul 8.30 pagi, para tetamu jemputan disambut dengan perarakan perbarisan lintas hormat kontinjen rumah sukan yang terdiri daripada gabungan murid-murid SK Trusan dan SJKC Chung Hua, Trusan. Walaupun bilangan setiap kontinjen cumalah hampir 50 orang sahaja, tetapi menampakkan integrasi dan perpaduan antara murid-murid yang berbeza bangsa.


Majlis perasmian ini telah dihadiri oleh Cg.Abdul Muhsen bin Anwar (Timbalan PPD) dan Penghulu Liaw Soon Teck (Lembaga Pengelola SJKC Chung Hua Trusan). Mereka menyatakan rasa bangga terhadap SK Trusan dan SJKC Chung Hua Trusan kerana mempunyai idea dan usaha untuk mengintegrasikan murid-murid di sekolah selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP).


Dalam ucapan alu-aluan Abdul Rahman bin Abit, Guru besar SK Trusan, beliau menyatakan hasrat sekolah untuk membawa penganjuran sukan olahraga tahunan ini ke suatu tahap yang lebih tinggi. Beliau berkata, "Tahun ini kami telah menggabungkan SK Trusan yang majoriti muridnya Melayu, dan SJKC Chung Hua Trusan yang majoriti muridnya Cina. Tahun hadapan kita berhasrat untuk bergabung dengan sekolah yang majoritinya Lun Bawang. Lagi Cantik!"

Cg. Abdul Muhsen bin Annuar menyatakan bahawa pihak PPD Lawas bersedia menyokong usaha sekolah untuk mendidik murid-murid melalui program-program yang dilaksanakan. Namun, beliau mencadangkan pada tahun-tahun akan datang, pihak sekolah boleh menghantar surat ke PPD Lawas untuk memohon agar sukan tahunan ini boleh dilaksanakan pada peringkat daerah. Beliau berkata, "walaupun 3 buah sekolah, kita boleh mengadakan sukan pada peringkat daerah, dan semua murid pun dapat penyertaan peringkat daerah."

Pada pukul 9.40pagi, acara-acara olahraga telah dimulakan. Acara balapan pada hari ini adalah peringkat separuh akhir. Para peserta telah bertanding dengan bersungguh-sungguh untuk melayakkan diri mereka ke peringkat akhir pada keesokkan hari. 

Kejohanan Olahraga pada hari ini telah tamat pada pukul 1 petang. Dan acara 200 meter separuh akhir  terpaksa ditangguhkan disebabkan oleh masalah teknikal (iaitu ukuran "stages" 200m yang kurang tepat).


Hari Kedua (15 November 2022)

Semangat membara
Kejohanan Olahraga pada hari kedua ini terpaksa dilaksanakan dengan rahmat Tuhan apabila air banjir semakin naik di kawasan sekolah. Pihak pengelola bercadang untuk menangguhkan kejohanan ini sekiranya air banjir mencapai tahap yang kurang selamat. Namun, dengan ehsan dan rahmat Tuhan, air banjir naik perlahan dan kekal pada paras yang selamat untuk kejohanan ini dijalankan.

Para peserta bersemangat gental tetap bertanding dalam keadaan padang dan trek yang sedikit ditenggelami air banjir.

Keselamatan murid-murid sentiasa menjadi keutamaan pihak pengelola. Beberapa staf telah ditugaskan untuk memerhati dan memastikan keselamatan para peserta semasa melalui kawasan berair dalam kawasan trek. Walaubagaimanapun, para peserta didapati sangat seronok dan teruja untuk melalui kawasan trek yang berair itu kerana mereka merasakan bahawa ini merupakan satu pengalaman yang istimewa. "Saya berasa seronok berlari dalam air. Bila lagi kami ada peluang macam ini lagi," Kata Dafi, salah seorang peserta lelaki.
Dafi dan Matthew melalui kawasan berair

Kejohanan Olahraga 2022 Anjuran Bersama SK Trusan dan SJKC Chung Hua Trusan ini telah berakhir pada pukul 1 petang. Majlis penyampaian hadiah  dan Majlis Penangguhan Rasmi kejohanan telah diadakan sebaik sahaja acara berakhir. Pemenang piala terbaik kategori dan juga olahragawan serta olahragawati adalah seperti berikut:

Olahragawan: Rafiqaufa bin Rashid
Olahragawati: Ashley Sara Joseph

Terbaik Kategori Lelaki A: Muhammad Dafi Kusyairi B. Sukaini
Terbaik Kategori Perempuan A: Ivyll Mell Freddy
Terbaik Kategori Lelaki B: Freddy Low Zhi Ping
Terbaik Kategori Perempuan B: Nur Sakina
Terbaik Kategori Lelaki C: 
Terbaik Kategori Perempuan C: Jizzebelle Joyce Jaffry


Ucapan penangguhan GB SJKCHT
Ucapan penangguhan Kejohanan Olahraga 2022 Anjuran Bersama SK Trusan dan SJKC Chung Hua Trusan telah diberikan oleh Colly Kong Suan Fung, Guru Besar SJKC Chung Hua Trusan. Dalam ucapannya, beliau menyatakan persetujuan untuk terus bekerjasama dan berkolaborasi dengan SK Trusan pada masa-masa akan datang. Beliau juga bersetuju untuk menerima cadangan bagi mengelola kejohanan olahraga yang akan datang di Stadium Terbuka Lawas. "Tahun hadapan kalau boleh kita adakan sukan olahraga kita di stadium, ini cuma cadangan kerana terdapat pelbagai faktor yang kita perlu ambil kira seperti faktor pengangkutan dan sebagainya. Namun kita akan berusaha ke arah meningkatkan kualiti sukan kita serta memberikan pengalaman olahraga yang terbaik kepada murid-murid sekalian." Kejohanan ini secara rasminya tamat ditangguhkan pada pukul 1.30petang.



Sekian,

Dilaporkan oleh: Tan Kan Tsai (16 November 2022)

Download gambar hari pertama

Download gambar hari kedua


Gambar-gambar lain: