BULAN PANITIA PENDIDIKAN ISLAM DAN BAHASA ARAB MERIAH SEPANJANG RAMADAN

Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab telah berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti bersempena Bulan Panitia yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan dengan penglibatan aktif murid serta warga sekolah.

Program ini telah dimulakan dengan Majlis Pelancaran Bulan Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab serta Tabung Infaq yang diadakan pada 27 Februari 2026 selepas bacaan Surah Yasin. Majlis ini bertujuan menyemarakkan semangat Ramadan di samping memupuk nilai keprihatinan dalam kalangan murid melalui amalan berinfaq.

Sepanjang bulan Ramadan, aktiviti solat sunat dhuha telah dilaksanakan pada waktu rehat sebagai usaha membudayakan amalan ibadah harian dalam kalangan murid. Selain itu, program Tadarus Al-Quran turut dijalankan melibatkan murid yang telah menguasai bacaan Al-Quran bagi meningkatkan kelancaran dan kefahaman mereka.

Bagi mencungkil bakat dan kreativiti murid, beberapa pertandingan telah dianjurkan pada 27 Februari 2026. Antaranya ialah Pertandingan Tulisan Cantik bagi murid Tahap 2, Pertandingan Mewarna Poster Ramadan bagi murid Tahap 1 serta Pertandingan Membuat Sampul Raya yang melibatkan murid Tahap 1 dan Tahap 2. Di samping itu, aktiviti Musabaqah Huruf Hijaiyyah turut dijalankan sepanjang bulan panitia bagi memperkukuh penguasaan asas huruf dalam kalangan murid.



Kemuncak program ialah Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Jamaie yang telah berlangsung pada 12 Februari 2026 dengan penyertaan murid tadarus, murid asrama serta warga sekolah. Majlis ini menjadi platform untuk meraikan kejayaan murid dalam mengkhatamkan Al-Quran di samping mengeratkan ukhuwah melalui majlis berbuka puasa bersama.

Program ini telah melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutupan Bulan Panitia pada 18 Februari 2026. Antara pengisian majlis ialah penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf, penghargaan kepada murid yang berjaya berpuasa penuh, penyampaian hadiah pertandingan serta pemberian duit raya kepada murid.

Secara keseluruhannya, penganjuran Bulan Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab ini telah berjaya mencapai objektif dalam membentuk sahsiah murid yang berakhlak mulia, meningkatkan amalan ibadah serta menyemai semangat cintakan ilmu dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

Dilaporkan oleh:

Amanina Aqilah binti Matzalis
KP Bahasa Arab
SK Trusan

Penyerahan Jurnal Penyelidikan Tindakan dan Inovasi Jilid 4/ 2026

 

Penyerahan Jurnal kepada PPD Lawas (Kiri) oleh GB SK Trusan (Kanan)

Tahniah diucapkan kepada barisan editor yang diketuai oleh Cg. Tan Kan Tsai (Guru Cemerlang DG12), dan Cg. Natasha Lee Phay Wern (Penyelaras Kajian Tindakan, SK Trusan) di atas kejayaan penerbitan Jurnal Penyelidikan Tindakan dan Inovasi Jilid 4/2026. Tahniah kepada Alifarizal bin Sahak, Guru Besar SK Trusan serta semua guru yang terlibat atas segala sokongan dalam menjayakan penyelidikan tindakan sepanjang Tahun 2025. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan budaya penyelidikan yang subur dan konsisten diamalkan di SK Trusan, malah membuktikan komitmen warga pendidik dalam memperkasa amalan profesionalisme keguruan. Lebih membanggakan, usaha murni ini turut menyumbang kepada penyebaran budaya penyelidikan yang positif dan progresif ke sekolah-sekolah lain di Zon Trusan.

Jurnal yang mengandungi 16 kajian tindakan ini memperlihatkan kesungguhan, kreativiti dan inovasi guru-guru dalam mengenal pasti serta menyelesaikan isu-isu PdPc di dalam kelas masing-masing secara sistematik dan berfokus. Setiap kajian yang diketengahkan bukan sahaja berasaskan refleksi amalan sebenar, malah disokong oleh data dan dapatan yang relevan, sekali gus memberi impak langsung terhadap peningkatan kualiti pembelajaran murid.

Penerbitan jurnal ini juga menjadi platform perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam kalangan guru, di samping menggalakkan budaya kolaboratif serta pemikiran kritis dalam komuniti pendidikan. Usaha ini wajar dijadikan contoh dan inspirasi kepada warga sekolah lain untuk terus menjalankan kajian tindakan sebagai medium penambahbaikan berterusan dalam sistem pendidikan.

Semoga kejayaan penerbitan Jilid 4 ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan dan inovasi pada masa hadapan, seterusnya memperkukuh kecemerlangan SK Trusan sebagai institusi pendidikan yang progresif, berdaya saing dan sentiasa komited terhadap kemenjadian murid.


Dilaporkan oleh:

Tan Kan Tsai
Guru Cemerlang DG12
SK Trusan

PERTANDINGAN BOLA TAMPAR MSSD LAWAS

TRUSAN, 10 Februari 2026 – Pasukan bola tampar sekolah telah menyertai Kejohanan Bola Tampar Peringkat Daerah yang berlangsung di Gelanggang Dewan Masyarakat Trusan.

Pasukan ini berjaya mempamerkan semangat juang yang tinggi serta komitmen yang membanggakan sepanjang kejohanan berlangsung. Lebih membanggakan, terdapat beberapa orang pemain yang pertama kali menyertai pertandingan bola tampar namun tetap mampu memberikan saingan sengit kepada pihak lawan.

Senarai Atlet Bola Tampar SK Trusan. 1. Shahrizwan Bin Maslan (Tahun 6) 2. Azmil Ilhami Bin Awangku Mohd.Munir (Tahun 6) 3. Mohammad Zafriel Irham Bin Mazlan (Tahun 6) 4. Awangku Mohammad Haikal Bin Awgku Mohammad Nazri (Tahun 6) 5. Mohammad Fahmie Bin Herman (Tahun 6) 6. Mohamad Afif Zafuan Bin Aini @ Suhaimi  (Tahun 6) 7. Mohamad Fadzilah Bin Shahlan (Tahun 5) 8. Norhazarudin Bin Nordin (Tahun 5) 9. Muhammad Ziyad Zafran Bin Nortahir (Tahun 5) 10. Clement Baru Hendrick (Tahun 4)


Dalam kejohanan tersebut, pasukan sekolah mencatat keputusan berikut:
25–30 menentang SK Merapok
25–30 menentang SK Pusat
16–30 menentang SK Ulu Merapok

Walaupun tidak berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir, para pemain menunjukkan peningkatan ketara dari segi kemahiran asas, kerjasama berpasukan dan disiplin permainan. Beberapa kesilapan kecil yang berlaku semasa perlawanan menjadi faktor perbezaan mata dengan pasukan lawan.

Namun begitu, usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pemain wajar dipuji. Penyertaan ini juga memberi pengalaman berharga serta pendedahan awal kepada pemain, khususnya mereka yang pertama kali menyertai pertandingan.

Pasukan ini dibawah bimbingan jurulatih, Cik Siti Zahidah Binti Ahmad Sabri, yang bertanggungjawab merancang sesi latihan, strategi permainan dan memberikan sokongan moral kepada pemain. Manakala Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Marlvin Anak Nonging, sebagai Pengurus Pasukan sepanjang kejohanan berlangsung. Pasukan ini diiringi oleh Puan Kartini binti Gaip.

Kejohanan ini turut mendapat sokongan dan kehadiran Guru Besar SK Trusan, Encik Alifarizal bin Sahak serta Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Syarkinah binti Wahap yang hadir memberikan sokongan moral kepada pasukan bola tampar sekolah.

Diharapkan pasukan bola tampar sekolah akan terus berusaha memperbaiki prestasi dan mencipta kejayaan pada masa akan datang.


Dilaporkan oleh:

Amanina Aqilah Binti Matzalis
SK Trusan


 KEJOHANAN MERENTAS DESA MSSB LIMBANG 2026

 







LIMBANG, 5 Februari 2026 – Dua atlet Sekolah Kebangsaan (SK) Trusan telah menyertai Kejohanan Merentas Desa MSSB Limbang yang berlangsung di SMK Agama Limbang hari ini. Penyertaan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak sekolah dalam memperkasa pembangunan sukan serta memberi pendedahan kepada murid untuk bersaing di peringkat bahagian.

Dua orang atlet SK Trusan yang terlibat dalam kejohanan ini ialah Hazir Izzan bin Saidin dan Affan Azzhar bin Afzainizam. Sepanjang kejohanan, kedua-dua atlet telah menunjukkan komitmen, disiplin dan semangat juang yang tinggi walaupun berdepan saingan sengit daripada sekolah-sekolah lain di Bahagian Limbang.

Kontinjen SK Trusan telah diiringi oleh Encik Joshua Lucas selaku guru pengiring, manakala Encik Alifarizal bin Sahak, Guru Besar SK Trusan, bertindak sebagai Ketua Pasukan. Kehadiran pihak pengurusan sekolah jelas menunjukkan sokongan padu terhadap pembangunan bakat dan kecemerlangan murid dalam bidang sukan.

Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua atlet yang terlibat dan bapa atlet yang telah membantu melatih dan memberi sokongan berterusan kepada anak-anak mereka. Menang atau kalah bukan ukuran utama, sebaliknya keberanian mencuba, kesungguhan berlatih dan pengalaman yang diperoleh merupakan kejayaan sebenar. Semoga penyertaan ini menjadi pembakar semangat kepada murid-murid SK Trusan untuk terus aktif, berdisiplin dan berani mencabar diri ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Terus berlari mengejar impian, kerana setiap langkah kecil hari ini adalah kejayaan besar esok nanti.


DILAPROKAN OLEH:

Joshua Lucas
Setiausaha Sukan dan Kokurikulum,
SK Trusan

 


KEJOHANAN MERENTAS DESA MSSD LAWAS 2026




SK Trusan Sertai Kejohanan Merentas Desa MSSD Lawas 2026

LAWAS, 29 Januari 2026 (Khamis) – Sekolah Kebangsaan (SK) Trusan telah menghantar seramai 10 orang murid untuk menyertai Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Lawas 2026 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Long Tukon.

Penyertaan melibatkan lima orang murid lelaki iaitu Mohammad Zafriel Irham bin Mazlan, Shahrizwan bin Maslan, Hazir Izzan bin Saidin, Clement Baru Hendrick dan Affan Azzhar bin Afzainizam, serta lima orang murid perempuan iaitu Nurdhia Ardiana Nazrie binti Abdullah, Dayangku Qaseh Zafeerah binti Awangku Mohamad, Annisa Faiha binti Mei'an, Hazlyana Sofea Mejius dan Nur Anies Ariesha binti Saidi, yang diiringi oleh Encik Alifarizal bin Sahak, Encik Marlvin Anak Nonging, Cik Christina Koo, Puan Kartini binti Gaip dan Encik Joshua Lucas selaku guru pengiring.

Walaupun pasukan SK Trusan tidak berjaya berada dalam kelompok 10 terbaik, semangat juang, disiplin serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua peserta amat membanggakan pihak sekolah. Pengalaman berharga ini diharap dapat menjadi pendorong kepada murid untuk terus berlatih dan meningkatkan prestasi pada masa akan datang demi mengharumkan nama sekolah.


Dilaporkan oleh:

 JOSHUA LUCAS

SETIAUSAHA SUKAN DAN KOKURIKULUM