Bengkel & Perkongsian Amalan Terbaik (PAT) Kajian Tindakan dan Inovasi SK Trusan Tahun 2023

 

Pembudayaan Kajian Tindakan merupakan satu program yang telah dilaksanakan secara meluas dalam kalangan warga pendidik di Malaysia, bertujuan untuk menjadikan kajian tindakan sebagai satu budaya di sekolah-sekolah di Malaysia. Program ini telah mendapat sambutan yang hangat daripada warga pendidik di seluruh Malaysia, di mana terdapat peningkatan berterusan bilangan guru yang menjalankan Kajian Tindakan pada setiap tahun (Amir Salleh, 2008).

Pentadbir sekolah juga berinspirasi untuk membudayakan kajian tindakan di SK Trusan . Ini adalah bertujuan untuk membangunkan sumber manusia serta meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pentabdiran sekolah dan seterusnya meningkatkan keberkesanan sekolah secara menyeluruh. Keberkesanan sekolah boleh dikategorikan kepada 3 aspek utama iaitu aspek kepimpinan pemimpin sekolah, iklim sekolah, dan pengurusan instruksional (Addario, 2022; Yuga Gayu, n.d).

Ucapan Alu-aluan GB SK Trusan (Abdul Rahman Abit)

Untuk membudayakan kajian tindakan di sekolah. Para guru dan staf perlu terlebih dahulu didedahkan dengan kajian tindakan, iaitu bagaimana melaksanakannya secara berkesan di sekolah. Oleh itu, satu Bengkel dan PAT Kajian Tindakan dan Inovasi telah dilaksanakan pada hari ini (10 Januari 2023).

Bengkel ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Abdul Rahman Abit, guru besar SK Trusan. Dalam ucapannya, beliau telah menyatakan signifikan perlaksanaan kajian tindakan di sekolah dan beliau sangat berterima kasih kepada pengerusi program, Pn. Fatimah Siji serta penyelarasnya, En. Tan Kan Tsai kerana telah mengambil inisiatif dalam membudayakan kajian tindakan di sekolah. Beliau berharap agar program ini dapat meningkatkan professionalisme guru-guru di sekolah dan seterusnya menyumbang kepada kemenjadian murid dan keberkesanan sekolah.

Bengkel ini diteruskan dengan pembentangan Projek Kajian Tindakan dan Inovasi oleh En. Tan Kan Tsai (selaku penyelaras program). Dalam slot ini, para peserta didedahkan dengan prosedur perlaksanaan kajian tindakan, fasa-fasa perlaksanaan program serta pembahagian kumpulan penyelidik.

PAT oleh Pn. Colly Kong (GB SJKC Chung Hua Trusan)

Kemudian, bengkel ini diteruskan dengan Perkongsian Amalan Terbaik (PAT) Program Kajian Tindakan dan Inovasi yang sedang dilaksanakan oleh SJKC Chung Hua Trusan. PAT ini disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu  Pn. Colly Kong Suan Fung, guru besar SJKC Chung Hua Trusan.

Pembentang: Pn. Ung Kiew Lee (Peserta KT kebangsaan 2020)

Seterusnya, para peserta mendengar perkongsian dan pembentangan Kajian Tindakan dan Inovasi yang telah dilaksanakan oleh Pn. Ung Kiew Lee yang bertajuk "Menggunakan kaedah ‘Trace and twist’ untuk membantu murid Tahun 1 menulis nombor 5, 6, 7dan 9 dengan betul". Pembentangan ini memberi pendedahan kepada guru-guru tentang penulisan kajian tindakan.

Pembentang: En. Tuo Tai Soon (Guru Pra sekolah)

Kemudian, En. Tuo Tai Soon pula membentangkan inovasinya yang sedang dilaksanakan di sekolah. Inovasinya (yang masih belum bernama) adalah merupakan satu kad yang digunakan untuk membantu murid-murid pra sekolah untuk menulis huruf dengan betul. Kad ini juga berfungsi sebagai rujukan atau panduan kepada murid-murid selain boleh digunakan sebagai kad latihan. 

Komen dan ulasan oleh Pn. Dolphina Balang (SISC+ Lawas)

Akhir sekali, para peserta mendengar komen dan ulasan daripada pembimbing jemputan, Pn. Dolphina Balang (Pegawai SISC+ PPD Lawas). Dalam ucapannya, beliau sangat tertarik dan teruja dengan usaha kedua-dua buah sekolah dalam membudayakan kajian tindakan di sekolah. Beliau berharap kolaborasi antara kedua-dua sekolah ini dapat diperkukuhkan dan seterunya menyumbang kepada pembangunan professionalisme sekolah.


Dilaporkan oleh:

Tan Kan Tsai
Penyelaras Kajian Tindakan dan Inovasi
Sekolah Kebangsaan Trusan, Lawas
(10 Januari 2023)

Gambar-gambar lain: