Perkhemahan adalah di antara aktiviti utama kegiatan kokurikulum di sekolah. Melalui aktiviti ini, para peserta dapat mengalami sendiri situasi-situasi yang membuktikan pentingnya sifat-sifat mulia seperti bertolak ansur, bertoleransi, tolong-menolong, berdisiplin dan lebih mengutamakan kepentingan bersama daripada kepentingan diri sendiri. Aktiviti perkhemahan juga mendedahkan para peserta kepada cabaran-cabaran fizikal dan keyakinan diri masing-masing di samping itu juga memberi kesempatan kepada para peserta untuk mengembleng daya inovasi dan kreativiti mereka dalam menyelesaikan masalah.
Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk memastikan agar objektif-objektif yang telah digariskan itu dapat dicapai. Aktiviti pertama adalah Team Building di mana para kadet dibahagikan dalam kumpulan dan belajar untuk melaksanakan aktiviti secara berkolaborasi dalam kumpulan. Semangat berpasukan dan nilai kerjasama diuji dan dilatih melalui aktiviti seperti membina logo dan sorakan semangat kumpulan. Aktiviti ini diketuai oleh Zakhiruddin bin Zainol.
Aktiviti seterusnya adalah Aktiviti Mendirikan Khemah. Ramai murid pada tahun ini kurang mahir mendirikan khemah kerana kegiatan perkhemahan ini telah ditangguhkan selama 2 tahun disebabkan oleh pandemik Covid-19. Aktiviti ini yang diketuai oleh Moktar bin Jaman telah berjaya mendedahkan semula murid-murid dengan salah satu kemahiran asa perkhemahan.
Di sebelah petang, sepatutnya para kadet memasak makan malam mereka sendiri dalam aktiviti masakan rimba tetapi terpaksa diberhentikan kerana hujan yang turun dengan lebat.
Selepas makan malam, pada sebelah malam para kadet bertungkus lumus untuk menyediakan persembahan mereka dalam aktiviti malam kebudayaan di mana mereka menghasilkan satu lakonan dan nyanyian lagu secara kreatif untuk dipersembahkan kepada semua hadirin.
Pada hari kedua, para kadet disambut seawal 6 pagi dengan aktiviti senaman pagi dan kawad kaki yang diketuai oleh Tan Kan Tsai. Dalam aktiviti ini, para kadet didisiplinkan dan didedahkan dengan kawad statik. Ramai murid didapati kurang pandai berkawad kaki. Walaubagaimanapun, setelah dilatih dengan tegas, mereka dapat melakukan kawad statik dengan memuaskan.
Selepas kawad kaki, para kadet mula mengemaskan khemah masing-masing dan bersedia untuk aktiviti seterusnya iaitu explorace yang diketuai oleh Mathuri a/p Marimuthu. Murid-murid sangat seronok dengan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah dilaksanakan pada pukul 10pagi. Dalam ucapan Abdul Rahman Abit, guru besar SK Trusan, beliau menyatakan hasrat supaya murid-murid dapat berkhemah dalam situasi yang sebenar pada tahun akan datang supaya intipati-intipati perkhemahan yang sebenarnya dapat dirasai dan dihayati murid-murid sekolah.
Perkhemahan Bersepadu TKRS 2023 ini telah secara rasminya ditangguhkan pada pukul 11pagi. Dan murid-murid sudah pastinya telah penat tetapi mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai yang penting dalam kegiatan perkhemahan kali ini. Diharap perkhemahan pada tahun akan datang akan lebih menyeronokkan dan terus memberikan kebaikan kepada murid-murid.
Dilaporkan oleh:
Tan Kan Tsai
S/U Kokurikulum
(3 Disember 2022)
Gambar-gambar perkhemahan